Monday, July 12, 2010

PKU 3106: PERLAKSANAAN PENTAKSIRAN

2.5 Perlaksanaan Pentaksiran

Bagi melaksanakan pentaksiran yang baik perancangan perlu ada dari awal lagi. Oleh itu perkara yang perlu diambil kira adalah dengan menentukan tujuan pentaksiran sama ada formatif atau sumatif, menilai kemahiran teknikal atau kemahiran generik, menguji kefahaman atau menguji aplikasi konsep. Perkara kedua adalah dengan memikirkan apa yang hendak dinilai seterusnya diikiti dengan kaedah penaksiran apa yang digunakan. Setelah menetapkan kaedah pentaksiran, syarat-syarat lain untuk lulus juga perlu dinyatakan. Perkara yang seterusnya adalah dengan menyatakan tarikh-tarikh penting pentaksiran akan dijalankan dalam perancangan pengajaran dan akhir sekali menyatakan penalty bagi tugasan yang lewat dihantar.

Berdasarkan pernyataan yang telah dinyatakan sebelum ini, dalam melaksanakan sesuatu pentaksiran, seseorang itu perlu merancang pentaksirannya dengan sempurna. Guru yang ingin melakukan pentaksiran itu perlu mengetahui sebelum, semasa dan selepas pentaksiran itu dijalankan. Pelan tindakan pentaksiran seperti rajah di bawah kebiasaanya disarankan kepada guru-guru atau mana-mana individu yang ingin melaksanakan pentaksiran.

Bagi petak yang pertama iaitu merancang pentaksiran, tindakan-tindakan yang diambil amatlah penting dengan mengkaji sukatan pelajaran terlebih dahulu. Tindakan ini penting bagi mendapatkan maklumat yang tepat tentang kandungan kurikulum yang akan diuji terutama sekali dalam aspek kandungan sesuatu topik, kompleksiti topk dan masa pengajaran topik berkenaan. Selain itu, guru juga perlu menentukan Hasil Pembelajaran bagi topik yang dipilih dengan merujuk kepada taksonomi objektif pembelajaran berkenaan. Seterusnya berdasarkan objektif tersebut, guru perlu pula menetapkan jenis soalan ujian yang sesuai bagi tahap pencapaian murid dan menetapkan sekali bilangan soalan ujian yang perlu mencakupi skop kandungan setiap topik.

Dalam langkah yang kedua, pelbagai bentuk instrumen pentaksiran boleh dibuat. Kebiasaannya, ujian objektif, ujian subjektif dan ujian amali menjadi bentuk instrumen pentaksiran yang kerap digunakan oleh guru. Namun prinsip utama pembinaan item ujian perlu menjadi panduan dalam proses ini. Arahan mestilah ringkas dan mudah difahami serta menggunakan bahasa yang tepat. Item ujian mestilah menguji secara spesifik kandungan topik yang diuji dan memerlukan respons dalam pengiraan selain daripada perlu menyatakan unit dan ketepatan ukuran yang dikendaki.

Perlaksanaan pentaksiran melibatkan penggunaan pelbagai kaedah dan instrumen untuk mendapatkan maklumat bagi menentukan tahap pencapaian murid. Kebiasaannya, pentaksiran dilaksanakan dalam tiga bentuk iaitu pemerhatian, pentaksiran lisan dan pentaksiran penulisan. Pentaksiran secara pemerhatian sesuai digunakan semasa menaksir aspek-aspek yang sukar dikesan secara lisan atau pun penulisan. Misalnya seperti kemahiran literasi komputer, kemahiran kinestetik dan kemahiran manipulatif. Manakala pentaksiran secara lisan diaplikasikan bagi menaksir kebolehan pelajar mengingat dan memahami konsep, kemahiran mendengar, dan kemahiran lisan bahasa. Dan pentaksiran secara penulisan pula dijalan secara meluas untuk menguji penguasaan kemahiran bahasa, dan kemahiran intelek pelajar.

Langkah yang keempat pula adalah merekod. Seperti mana yang telah diterangkan dalam bahagian pengenalan, merekod merupakan aktiviti mencatat maklumat secara bersistem berkaitan dengan kebolehan, perkembangan atau kemajuan dan pencapaian pelajar dalam pembelajaran. Langkah ini penting dalam menentukan langkah-langkah yang seterusnya iaitu menganalisis maklumat.

Bagi menentukan tahap pencapaian seseorang murid, analisis maklumat amat penting, prosedur analisis maklumat pentaksiran untuk tujuan formatif adalah berbeza dengan pentaksiran untuk tujuan sumatif. Pentaksiran tujuan formatif merumuskan skor item ujian murid menjadi skor kriteria. Skor kriteria ini didapati dengan membuat perbandingan skor ujian pelajar dengan “cut-off”. Perbandingan ini penting dalam mengetahui sama ada murid tersebut sudah atau belum menguasai topik berkenaan. Pentaksiran tujuan sumatif pula merangkumi penggunaan statistik asas seperti ukuran minimum. Perkara ini boleh menentukan kedudukan pencapaian murid berkenaan secara perbandingan dengan murid yang lain.

Langkah yang terakhir adalah dengan mengambil tindakan susulan. Tindakan ini melibatkan aktiviti pemulihan, pengayaan, dan pengukuhan. Selain itu, tindakan ini haruslah diberi secara serta merta sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran. Maka, disarankan bahawa guru merancang dengan berstruktur dan sistematik bagi mengaplikasikan tindakan ini.

Maka, bagi memperjelaskan penerangan di atas, penaksiran kemahiran menulis telah dipilih bagi tujuan berikut. Namun, sebelum mengetahui contoh pentaksiran tersebut, penerangan tentang kemahiran yang terlibat bagi kemahiran menulis dan kemahiran yang lain akan dijelaskan dengan lebih mendalam terlebih dahulu.

No comments:

Post a Comment