Monday, July 12, 2010

PKU 3106: CARA PENGUMPULAN MAKLUMAT PENTAKSIRAN

2.4 Cara Pengumpulan Maklumat Pentaksiran

Kanak-kanak kategori Pendidikan Khas terutamanya kategori masalah pembelajaran kelihatan seperti kanak-kanak normal dari segi fizikalnya. Maka antara cara untuk mengesan masalah pembelajaran mereka adalah melalui beberapa kaedah iaitu sama ada melalui pemerhatian, rekod atau laporan, sampel kerja, ujian, temu bual, atau pun analisis.

Pemerhatian merupakan kaedah yang paling digemari dan mudah dipraktikkan. Kaedah ini boleh dilakukan secara langsung mahu pun tidak langsung. Menurut Haidi (2009) terdapat tiga teknik pemerhatian yang sesuai dilaksanakan. Teknik pertama iaitu pemerhatian dengan senarai semak, diikuti dengan pemerhatian di luar bilik darjah dan yang ketiga adalah pemerhatian tingkah laku. Selain itu, pemerhatian juga boleh dilaksankan dalam situasi spesifik, pelbagai seting, serta berbeza sepanjang hari. Pemerhatian situasi yang spesifik dilaksanakan sepanjang satu masa yang tertentu misalnya seperti semasa waktu rehat. Manakala bagi pemerhatian dalam pelbagai seting pula boleh dilakukan pada persekitaran atau tempat yang berbeza. Begitu juga dengan pemerhatian yang berbeza sepanjang hari yang boleh dilaksanakan pada waktu pagi, petang dan malam.

Bagi kaedah dengan menggunakan rekod atau laporan pula dapat dilihat melalui rekod profil murid, rekod anekdot atau pun buku laporan prestasi murid. Melalui rekod yang berkaitan dengan murid tersebut secara tidak langsung dapat membantu guru menilai secara jangka panjang dan memberi maklumat tentang pencapaian murid dalam semua mata pelajaran. Selain itu, guru juga dapat mengetahui tahap kesihatan dan minat murid.

Seterusnya adalah dengan menggunakan sampel kerja. Sampel kerja ini kebiasaannya boleh dilakukan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Kaedah ini memerlukan guru untuk membuat analisis sampel kerja. Hal demikian kerana untuk mengetahui kelebihan dan kekurangan murid dalam mata pelajaran yang dipelajari.

Selain itu, kaedah menemu bual juga merupakan salah satu kaedah yang sering digunakan untuk menaksir masalah seseorang individu. Bagi mendapatkan maklumat, perbincangan atau temu bual boleh dilakukan sama ada dengan guru darjah, ibu bapa, rakan sebaya atau individu yang mengenalinya dengan baik.

Manakala bagi kaedah dengan menggunakan bentuk ujian, terdapat beberapa jenis ujian yang boleh digunakan. Antaranya adalah ujian rujukan kriteria atau ujian rujukan norma. Ujian rujukan kriteria bertujuan untuk mengumpul sama ada kemahiran yang telah diajar boleh dianggap sebagai telah dikuasai murid. Ujian rujukan norma pula adalah ujian yang membandingkan prestasi murid dalam sesuatu ujian dengan pencapaian murid-murid lain yang telah mengambil ujian yang sama.

Seterusnya adalah melalui analisis. Terdapat dua analisis iaitu analisis tugasan dan analisis ralat. Kedua-dua analisis ini adalah berbeza kerana analisis tugasan melibatkan satu siri kemahiran kecil yang perlu dilakukan oleh murid dengan jayanya. Manakala analisis ralat pula berkaitan dengan petunjuk tentang kemahiran yang masih belum dikuasainya iaitu apabila murid kerap melakukan kesilapan bagi sesuatu kemahiran yang belum dikuasainya.

No comments:

Post a Comment