Monday, July 12, 2010

PKU 3106: JENIS-JENIS PENTAKSIRAN

3.0 JENIS-JENIS PENTAKSIRAN

Jenis-jenis pentaksiran dalam pendidikan khas boleh dikategorikan kepada:

i. Pentaksiran Kemahiran Pembelajaran Asas

ii. Pentaksiran Sosial dan Tingkah Laku

iii. Pentaksiran Kemahiran Lisan

iv. Pentaksiran Kemahiran Bacaan

v. Pentaksiran Kemahiran Menulis

vi. Pentaksiran Kemahiran Matematik

3.1 Pentaksiran Kemahiran Pembelajaran Asas

Berdasarkan definisi kepada pentaksiran di bahagian 1.1, pentaksiran kemahiran pembelajaran asas boleh didefinisikan sebagai satu proses mengumpulan maklumat yang bertujuan untuk membuat keputusan di mana keputusan yang dibuat adalah berdasarkan maklumat yang tertentu dan bukannya dibuat dengan sewenang-wenangnya.

Kemahiran yang terlibat dalam pentaksiran pembelajaran asas ini adalah kemahiran pengamatan. Pengamatan boleh diertikan sebagai satu kemahiran yang boleh dikembang dan dipelajari. Manakala berdasarkan Janet W. Learner (1971) di dalam bukunya iaitu Children with Learning Disability menyatakan bahawa pengamatan adalah:

“ satu proses untuk mengenal maklumat daripada tindak balas panca indera dengan bantuan kuasa intelek”.

Seterusnya, menurut Ruth Strang dalam bukunya iaitu Reading Diagnosis and Renediation pula berpendapat bahawa pengamatan merupakan satu proses yang bergantung kepada kognitif dan kederaan. Beliau juga menyatakan bahawa proses ini merupakan proses yang penting dalam pembelajaran kanak-kanak terutama dalam pembinaan konsep yang dialami oleh mereka. Selain itu, terdapat juga beberapa pendidik memahami bahawa pengamatan berkait rapat dengan pemikiran manusia dan boleh berkembang serta dipelajari.

Pengamatan mempunyai beberapa komponen iaitu diskriminasi penglihatan, ingatan penglihatan, diskriminasi pendengaran, ingatan pendengaran serta sensori motor. Manakala dari aspek kemahiran pengamatan pula, terdapat 15 pembahagian kemahiran pengamatan iaitu diskriminasi yang sama, diskriminasi yang ganjil, diskriminasi saiz, ingat kembali, orientasi kedudukan, kekalan, keabadian bentuk, turutan, melengkapkan dan menyudahkan, rajah latar belakang dan bertindih, koordinasi motor mata dan tangan, pertalian jarak atau ruang, mazing atau mencari jalan keluar, mencari gambar tersembunyi, menyalin dan akhir sekali gambar bersiri.

Komponen pengamatan penglihatan dari aspek diskriminasi bermaksud kebolehan membezakan bentuk, saiz, warna, huruf, nombor dan perkataan.

PKU 3106: PERLAKSANAAN PENTAKSIRAN

2.5 Perlaksanaan Pentaksiran

Bagi melaksanakan pentaksiran yang baik perancangan perlu ada dari awal lagi. Oleh itu perkara yang perlu diambil kira adalah dengan menentukan tujuan pentaksiran sama ada formatif atau sumatif, menilai kemahiran teknikal atau kemahiran generik, menguji kefahaman atau menguji aplikasi konsep. Perkara kedua adalah dengan memikirkan apa yang hendak dinilai seterusnya diikiti dengan kaedah penaksiran apa yang digunakan. Setelah menetapkan kaedah pentaksiran, syarat-syarat lain untuk lulus juga perlu dinyatakan. Perkara yang seterusnya adalah dengan menyatakan tarikh-tarikh penting pentaksiran akan dijalankan dalam perancangan pengajaran dan akhir sekali menyatakan penalty bagi tugasan yang lewat dihantar.

Berdasarkan pernyataan yang telah dinyatakan sebelum ini, dalam melaksanakan sesuatu pentaksiran, seseorang itu perlu merancang pentaksirannya dengan sempurna. Guru yang ingin melakukan pentaksiran itu perlu mengetahui sebelum, semasa dan selepas pentaksiran itu dijalankan. Pelan tindakan pentaksiran seperti rajah di bawah kebiasaanya disarankan kepada guru-guru atau mana-mana individu yang ingin melaksanakan pentaksiran.

Bagi petak yang pertama iaitu merancang pentaksiran, tindakan-tindakan yang diambil amatlah penting dengan mengkaji sukatan pelajaran terlebih dahulu. Tindakan ini penting bagi mendapatkan maklumat yang tepat tentang kandungan kurikulum yang akan diuji terutama sekali dalam aspek kandungan sesuatu topik, kompleksiti topk dan masa pengajaran topik berkenaan. Selain itu, guru juga perlu menentukan Hasil Pembelajaran bagi topik yang dipilih dengan merujuk kepada taksonomi objektif pembelajaran berkenaan. Seterusnya berdasarkan objektif tersebut, guru perlu pula menetapkan jenis soalan ujian yang sesuai bagi tahap pencapaian murid dan menetapkan sekali bilangan soalan ujian yang perlu mencakupi skop kandungan setiap topik.

Dalam langkah yang kedua, pelbagai bentuk instrumen pentaksiran boleh dibuat. Kebiasaannya, ujian objektif, ujian subjektif dan ujian amali menjadi bentuk instrumen pentaksiran yang kerap digunakan oleh guru. Namun prinsip utama pembinaan item ujian perlu menjadi panduan dalam proses ini. Arahan mestilah ringkas dan mudah difahami serta menggunakan bahasa yang tepat. Item ujian mestilah menguji secara spesifik kandungan topik yang diuji dan memerlukan respons dalam pengiraan selain daripada perlu menyatakan unit dan ketepatan ukuran yang dikendaki.

Perlaksanaan pentaksiran melibatkan penggunaan pelbagai kaedah dan instrumen untuk mendapatkan maklumat bagi menentukan tahap pencapaian murid. Kebiasaannya, pentaksiran dilaksanakan dalam tiga bentuk iaitu pemerhatian, pentaksiran lisan dan pentaksiran penulisan. Pentaksiran secara pemerhatian sesuai digunakan semasa menaksir aspek-aspek yang sukar dikesan secara lisan atau pun penulisan. Misalnya seperti kemahiran literasi komputer, kemahiran kinestetik dan kemahiran manipulatif. Manakala pentaksiran secara lisan diaplikasikan bagi menaksir kebolehan pelajar mengingat dan memahami konsep, kemahiran mendengar, dan kemahiran lisan bahasa. Dan pentaksiran secara penulisan pula dijalan secara meluas untuk menguji penguasaan kemahiran bahasa, dan kemahiran intelek pelajar.

Langkah yang keempat pula adalah merekod. Seperti mana yang telah diterangkan dalam bahagian pengenalan, merekod merupakan aktiviti mencatat maklumat secara bersistem berkaitan dengan kebolehan, perkembangan atau kemajuan dan pencapaian pelajar dalam pembelajaran. Langkah ini penting dalam menentukan langkah-langkah yang seterusnya iaitu menganalisis maklumat.

Bagi menentukan tahap pencapaian seseorang murid, analisis maklumat amat penting, prosedur analisis maklumat pentaksiran untuk tujuan formatif adalah berbeza dengan pentaksiran untuk tujuan sumatif. Pentaksiran tujuan formatif merumuskan skor item ujian murid menjadi skor kriteria. Skor kriteria ini didapati dengan membuat perbandingan skor ujian pelajar dengan “cut-off”. Perbandingan ini penting dalam mengetahui sama ada murid tersebut sudah atau belum menguasai topik berkenaan. Pentaksiran tujuan sumatif pula merangkumi penggunaan statistik asas seperti ukuran minimum. Perkara ini boleh menentukan kedudukan pencapaian murid berkenaan secara perbandingan dengan murid yang lain.

Langkah yang terakhir adalah dengan mengambil tindakan susulan. Tindakan ini melibatkan aktiviti pemulihan, pengayaan, dan pengukuhan. Selain itu, tindakan ini haruslah diberi secara serta merta sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran. Maka, disarankan bahawa guru merancang dengan berstruktur dan sistematik bagi mengaplikasikan tindakan ini.

Maka, bagi memperjelaskan penerangan di atas, penaksiran kemahiran menulis telah dipilih bagi tujuan berikut. Namun, sebelum mengetahui contoh pentaksiran tersebut, penerangan tentang kemahiran yang terlibat bagi kemahiran menulis dan kemahiran yang lain akan dijelaskan dengan lebih mendalam terlebih dahulu.

PKU 3106: CARA PENGUMPULAN MAKLUMAT PENTAKSIRAN

2.4 Cara Pengumpulan Maklumat Pentaksiran

Kanak-kanak kategori Pendidikan Khas terutamanya kategori masalah pembelajaran kelihatan seperti kanak-kanak normal dari segi fizikalnya. Maka antara cara untuk mengesan masalah pembelajaran mereka adalah melalui beberapa kaedah iaitu sama ada melalui pemerhatian, rekod atau laporan, sampel kerja, ujian, temu bual, atau pun analisis.

Pemerhatian merupakan kaedah yang paling digemari dan mudah dipraktikkan. Kaedah ini boleh dilakukan secara langsung mahu pun tidak langsung. Menurut Haidi (2009) terdapat tiga teknik pemerhatian yang sesuai dilaksanakan. Teknik pertama iaitu pemerhatian dengan senarai semak, diikuti dengan pemerhatian di luar bilik darjah dan yang ketiga adalah pemerhatian tingkah laku. Selain itu, pemerhatian juga boleh dilaksankan dalam situasi spesifik, pelbagai seting, serta berbeza sepanjang hari. Pemerhatian situasi yang spesifik dilaksanakan sepanjang satu masa yang tertentu misalnya seperti semasa waktu rehat. Manakala bagi pemerhatian dalam pelbagai seting pula boleh dilakukan pada persekitaran atau tempat yang berbeza. Begitu juga dengan pemerhatian yang berbeza sepanjang hari yang boleh dilaksanakan pada waktu pagi, petang dan malam.

Bagi kaedah dengan menggunakan rekod atau laporan pula dapat dilihat melalui rekod profil murid, rekod anekdot atau pun buku laporan prestasi murid. Melalui rekod yang berkaitan dengan murid tersebut secara tidak langsung dapat membantu guru menilai secara jangka panjang dan memberi maklumat tentang pencapaian murid dalam semua mata pelajaran. Selain itu, guru juga dapat mengetahui tahap kesihatan dan minat murid.

Seterusnya adalah dengan menggunakan sampel kerja. Sampel kerja ini kebiasaannya boleh dilakukan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Kaedah ini memerlukan guru untuk membuat analisis sampel kerja. Hal demikian kerana untuk mengetahui kelebihan dan kekurangan murid dalam mata pelajaran yang dipelajari.

Selain itu, kaedah menemu bual juga merupakan salah satu kaedah yang sering digunakan untuk menaksir masalah seseorang individu. Bagi mendapatkan maklumat, perbincangan atau temu bual boleh dilakukan sama ada dengan guru darjah, ibu bapa, rakan sebaya atau individu yang mengenalinya dengan baik.

Manakala bagi kaedah dengan menggunakan bentuk ujian, terdapat beberapa jenis ujian yang boleh digunakan. Antaranya adalah ujian rujukan kriteria atau ujian rujukan norma. Ujian rujukan kriteria bertujuan untuk mengumpul sama ada kemahiran yang telah diajar boleh dianggap sebagai telah dikuasai murid. Ujian rujukan norma pula adalah ujian yang membandingkan prestasi murid dalam sesuatu ujian dengan pencapaian murid-murid lain yang telah mengambil ujian yang sama.

Seterusnya adalah melalui analisis. Terdapat dua analisis iaitu analisis tugasan dan analisis ralat. Kedua-dua analisis ini adalah berbeza kerana analisis tugasan melibatkan satu siri kemahiran kecil yang perlu dilakukan oleh murid dengan jayanya. Manakala analisis ralat pula berkaitan dengan petunjuk tentang kemahiran yang masih belum dikuasainya iaitu apabila murid kerap melakukan kesilapan bagi sesuatu kemahiran yang belum dikuasainya.

PKU 3106: CIRI-CIRI PENTAKSIRAN YANG BAIK

2.3 Ciri Pentaksiran yang Baik

Berdasarkan artikel yang dikemukakan oleh Haidi (2009), ciri pentaksiran yang baik adalah pentaksiran yang menarik dari segi ilutrasi, bentuk dan saiz tuilisan yang mudah difahami dan boleh dibaca. Maka, beliau telah menyatakan bahawa terdapat tujuh ciri pentaksiran yang baik iaitu:

i. Mempunyai arahan yang ringkas, jelas dan mudah difahami

ii. Mempunyai gambar yang jelas dan terang

iii. Jenis tulisan yang dicadangkan adalah ‘century gothic’

iv. Saiz tulisan adalah 14

v. Mempunyai contoh sebagai rujukan murid

vi. Setiap satu set pentaksiran mempunyai satu kemahiran sahaja

vii. Tidak digalakkan mencampur-adukkan pelbagai kemahiran

Selain itu, ada pula sesetengah individu yang berpendapat bahawa ciri pentaksiran yang perlulah mempunyai skor yang tinggi darjah kesahan serta darjah kebolehpercayaan. Di samping itu, ciri pentaksiran yang baik juga perlulah merangkumi empat komponen ini iaitu keobjektifan, kebolehtadbiran, kemudahtafsiran serta menyeluruh. Keobjektifan yang baik adalah apabila ketepatan seseorang pemeriksa memeriksa skrip jawapan. Kebolehtadbiran pula adalah kelicinan dan kerja-kerja susulan yang dilaksanakan secara berpusat atau berasaskan sekolah. Bagi kemudahtafsiran pula menyatakan bahawa maklumat tentang calon berdasarkan skor, mendrikiminasikan calon, menepati tujuan mengadakan sesuatu ujian dan pentaksiran. Dan komponen terakhir iaitu menyeluruh menyatakan bahawa ia perlu mengandungi soalan-soalan yang mewakili semua objektif yang penting.

PKU 3106: KEPENTINGAN PENTAKSIRAN

2.2 Kepentingan atau Tujuan Pentaksiran

Perlaksanaan proses pentaksiran amatlah penting dan sebagai seorang bakal guru, pengetahuan tentang pentaksiran amatlah diperlukan. Hal ini kerana melalui pentaksiran:

a. guru dapat mengetahui kekuatan dan kelemahan pembelajaran pelajar.

b. dapat membantu guru dalam memberi dan menetapkan penggredan

c. dapat memantau kemajuan murid

d. menentukan keberkesanan pengajaran

e. mempengaruhi penerimaan pihak awam terhadap keberkesanan pendidikan

f. menilai guru dan pendidik

g. menjelaskan niat dan hasrat pengajaran dan pembelajaran

Manakala berdasarkan Klein (2000), tujuan pentaksiran boleh dibahagikan dalam tiga kategori. Kategori-kategori tersebut adalah pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning), pentaksiran sebagai pembelajaran (assessment as learning) dan pentaksiran kepada pembelajaran (assessment for learning). Pentaksiran untuk pembelajaran adalah untuk para pendidik yang bertujuan untuk memodifikasikan dan mempelbagaikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Bagi pentaksiran sebagai pembelajaran pula adalah lebih kepada murid tersebut di mana memberi fokus terhadap peranan mereka sebagai penghubung di antara pentaksiran dan pembelajaran. Dan akhirnya, pentaksiran kepada pembelajaran pula adalah berbentuk sumatif dan digunakan untuk memastikan apa yang diketahui dan apa yang boleh dilakukan oleh murid.

Manakala, berdasarkan pendapat yang dikemukan oleh Pierangelo, R & Giuliani.G (2006), tujuan pentaksiran adalah sebagai pemeriksaan dan pengenalpastian (screening and identification). Selain itu, mereka juga menyatakan bahawa tujuan pentaksiran adalah untuk kelayakan dan diagnosis (eligibility and diagnosis), penempatan dan perkembangan RPI (IEP Development and placement), serta dalam perancangan pengajaran (Instructional planning) dan juga penilaian (evaluation).

PKU 3106: DEFINISI PENTAKSIRAN

2.0 PENGENALAN

2.1 Definisi Pentaksiran, Penilaian, Pengukuran dan Pengujian

Pentaksiran atau penaksiran adalah perkataan Latin yang membawa maksud “duduk bersama” dengan pelajar dan mengesahkan respon adalah sama dengan apa yang dimaksudkan.

Dari segi definisinya pula, pentaksiran merupakan proses pengumpulan, menterjemah, merekod, dan menggunakan maklumat mengenai respon pelajar kepada tugas pendidikan (David Lambert dan David Lines, 2000).

Manakala menurut Gearheart (1990), pentaksiran adalah proses pengumpulan dan penterjemahan secara saintifik tentang sesuatu maklumat yang luas berdasarkan keputusan intervensi dan apabila bersesuaian keputusan ditempatkan dan cadangan penempatan.

Selain itu, berdasarkan pendapat yang dikemukakan oleh Salvia dan Yseldyke (1978), penaksiran boleh didefinisikan sebagai proses pengumpulan data dengan tujuan untuk mengenal pasti dan mengesan masalah pelajar serta untuk membuat keputusan.

Seterusnya, Lembaga Peperiksaan Malaysia (2000) pula telah memberikan maksud terhadap penaksiran dalam pendidikan iaitu suatu proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menterjemah maklumat tentang pembelajaran seseorang murid bagi sesuatu tujuan tertentu.

Kesimpulannya, pentaksiran boleh diertikan sebagai proses pengumpulan maklumat yang melibatkan aktiviti menterjemah, merekod serta menghuraikan maklumat yang berkaitan dengan pembelajaran seseorang pelajar bag tujuan tertentu.

Berikutnya pula adalah berkaitan dengan penilaian. Menurut Stufflebeam (1971), penilaian adalah proses membuat pertimbangan atau keputusan dalam memberikan nilai, mutu, kualiti atau harga bagi sesuatu benda atau perkara. Beliau juga turut menyatakan bahawa penilaian ini boleh dianggap sebagai “process delineating” iaitu mencari dan memberikan maklumat yang berguna dalam mempertimbangkan alternatif-alternatif keputusan. Popham (1975) turut memberikan pandangan berkaitan dengan penilaian. Beliau menyatakan penilaian yang sistematik perlu mempunyai satu tafsiran tentang nilai fenomena pendidikan. Manakala Gay (1985) pula berpendapat bahawa:

Penilaian boleh diertikan sebagai proses yang sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu telah tercapai”.

Definisi bagi pengukuran pula adalah suatu proses untuk mendapatkan penjelasan secara numerik (melalui angka) tentang sebanyak mana individu/pelajar mempunyai sesuatu ciri yang diukur dengan menggunakan alat tertentu. Dalam erti kata lain pengukuran ialah proses menentukan sejauh mana seseorang individu memiliki ciri-ciri tertentu.

Pengujian dapat dianggap sebagai proses penyerahan set soalan yang piawai yang perlu dijawab, atau satu set instrumen bersama satu prosedur yang sistematik bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau pelajar. Menurut Cronbach (1970):

“Ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menjelaskannya dengan bantuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori”.